Top 10 JOESAFIRA blog dalam 7 hari ..


Apa itu Neobux? Klik Disini

Teori, Konsep dan Amalan
Teori, Konsep dan Amalan
Memikir Semula Pembangunan

Semenjak selepas Perang Dunia Kedua dan untuk selama beberapa dekad pemimpin negara-negara sedang membangun telah melaksanakan berbagai rancangan dan strategi pembangunan. Negara-negara yang baru merdeka ketika itu telah menjadi perhatian negara bekas penjajah apabila keadaan pembangunan negara-negara tersebut, khususnya pembangunan ekonomi, telah dikaji dan diteliti bertujuan menentukan jenis bantuan yang hendak diberikan. Cadangan pembangunan dan jenis bantuan yang dikemukakan ketika itu adalah berpandukan pemikiran dan penteorian pembangunan yang orthodoks. Pemikiran orthodoks ini berlandaskan anggapan bahawa punca dan halangan dalaman kepada pertumbuhan ekonomi merupakan sebab terdapatnya keadaan kurang pembangunan di negara-negara sedang membangun.

Dunia selepas perang telah menyaksikan kemajuan dan perubahan yang agak signifikan dalam keadaan hidup manusia hasil transformasi ekonomi dan teknologi. Begitu juga halnya di kebanyakan negara sedang membangun, terutamanya dalam masa lima puluh tahun yang lalu. Kemajuan dapat dilihat umpamanya dari segi pendapatan per kapita, capaian kepada pendidikan dan komunikasi, kesihatan dan beberapa aspek sosial yang lain, peningkatan jangka hayat daripada 55 tahun kepada 65 tahun, dan pengurangan kadar kemiskinan dan pengangguran.

Sungguhpun terdapat kejayaan-kejayaan tertentu, namun masih terdapat banyak isu dan masalah berkaitan pembangunan yang perlu ditangani dan diselesaikan. Sebenarnya di banyak negara keperluan asas untuk kehidupan yang relatifnya memuaskan dan produktif masih belum diperolehi. Antara masalah yang masih belum terselesai sungguhpun terdapat pertumbuhan ekonomi dalam negara-negara tertentu ialah masalah kemiskinan dan ketaksamaan, pengangguran, juga social dislocation. Bahkan, dari segi realitinya jurang antara negara kaya dan negara miskin semakin melebar. Boleh dikatakan jurang ini merupakan antara ciri utama pertumbuhan pada abad ke-20 yang lepas. Begitu juga jurang antara golongan berada dan golongan termiskin dalam sesebuah negara.

Dalam hal ini Bank Dunia telah menganggarkan bahawa menjelang tahun 2008 penduduk dunia yang miskin akan berjumlah seperti yang terdapat pada hari ini sekiranya kadar pertumbuhan yang perlahan dan masalah agihan yang tak sama rata terus menerus berlaku (World Development Report 2001). Boleh dikatakan bahawa secara umum dunia telah gagal mencapai pembanguan lestari yang berpusatkan manusia.

Keadaan ini menunjukkan bahawa proses pembangunan sebenarnya telah kurang berjaya untuk memenuhi matlamatnya menghasilkan pertumbuhan dan membawa kesejahteraan hidup kepada sebahagian besar penduduk dunia amnya. Faedah pembangunan yang telah terhasil kini telah tidak diagihkan secara sama rata sama ada antara negara ataupun di dalam negara, antara yang kaya dan yang miskin. Boleh dikatakan masalah kemiskinan semakin meningkat di banyak negara.

Dalam hal ini banyak kajian telah menunjukkan masalah asas kegagalan itu adalah berkaitan dengan andaian yang mendasari pemikiran kenapa negara-negara kurang membangun itu berada dalam keadaan tersebut. Pendekatan dan pemikiran asas pembangunan ini menganggap negara-negara Dunia Ketiga atau negara kurang membangun sebagai satu kumpulan negara yang bersifat homogen.

Dengan demikian, apa yang dianggap baik untuk negara-negara maju adalah juga dianggap baik untuk semua negara sedang membangun. Selain itu, terdapatnya anggapan bahawa untuk mengalami keadaan pembangunan seperti yang dinikmati negara maju, maka negara sedang membangu perlu melalui proses dan pengalaman pembangunan yang sama. Justeru, negara sedang membangun telah ternafi sejarah mereka sendiri, telah dikategorikan sebagai ‘mundur’ dan ‘tradisional’ dan kemudian dihulurkan ‘bantuan’ yang dianggap ‘sesuai’ untuk menghapuskan keadaan ‘mundur’ dan ‘tradisional’ yang telah dikenal pasti itu supaya jurang pembangunan dapat dihapuskan.

Namun, masalah yang timbul kini menunjukkan bahawa ‘satu dasar pembangunan untuk semua’ sebenarnya adalah tidak sesuai kerana ternyata kurang berjaya menyelesaikan masalah pembangunan negara-negara tersebut. Kegagalan itu juga menunjukkan bahawa pendekatan dan pemikiran yang sedemikian harus ditolak. Sebagai gantinya perlu ada kepelbagaian strategi pembangunan yang mengambil kira keperluan dan perbezaan pengalaman sesebuah negara berkenaan. Perhatian juga harus diberikan kepada kesan sejarah dan keadaan geografi negara yang terbabit.

Memandangkan masih adanya masalah-masalah lama itu, kini terdapat persetujuan umum bahawa perlu difikirkan semula, bukan sahaja tentang pendekatan, strategi dan proses pembangunan, tetapi juga penteorian tentang pembangunan. Ini perlu untuk meneliti semula dan menghapuskan kekangan yang menghambat pembangunan negara-negara sedang membangun. Pemikiran semula pembangunan ini perlu kerana kita masih perlu menyelesaikan masalah lama, iaitu masalah yang telah wujud semenjak selepas Perang Dunia Kedua lagi. Antara masalah yang paling penting adalah jurang kemiskinan dan ketaksamaan yang semakin besar yang wujud antara golongan berada dan yang tidak, sama ada di antara atau di dalam negara. Juga masalah pengangguran. Pemikiran semula ini perlu berlaku di kedua-dua peringkat nasional dan antarabangsa.

Cadangan memikirkan semula persoalan pembangunan itu adalah untuk mencari penyelesaian bagaimana menangani ancaman dan masalah yang timbul hasil proses pembangunan supaya dapat mempertingkatkan kesejahteraan penduduk. Juga untuk melihat di manakah letaknya proses dan projek pembangunan yang sedia ada dan dalam pada itu mengambil kira apa yang telah berjaya dan menggantikan pendekatan yang didapati gagal dengan pendekatan yang baru. Tindakan ini juga dicadang dilakukan untuk mengubah cara bagaimana pembangunan dikonseptualisasi, diteorikan dan dilaksanakan. Harus diingat bahawa pengalaman sejarah menunjukkan bahawa banyak daripada institusi yang kini dianggap sebagai prasyarat untuk kejayaan pembangunan ekonomi adalah sebenarnya merupakan hasil, dan bukannya sebab terdapatnya pembangunan ekonomi di negara yang kini maju.

Dalam usaha memikirkan semula soal pembangunan ini sekaligus pendekatan dan strategi baru juga akan difikirkan berdasarkan strategi pembangunan yang lebih sesuai dengan keadaan tempatan dalam usaha membawa kemajuan yang lebih bermakna kepada penduduk tempatan khususnya dan manusia sejagat. Dalam hal ini dicadangkan satu pendekatan pembangunan yang pelbagai dimensi dan komprehensif atau menyeluruh, iaitu pendekatan yang menekankan saling gantungan dan saling sokongan pelbagai aspek strategi pembangunan – sosial, struktural, manusia, institusi, alam sekitar, ekonomi, dan politik. Juga dengan mengambilkira keupayaan negara-negara sedang membangun memikirkan, mengungkapkan dan merancang strategi pembangunan mereka sendiri dengan bantuan yang sesuai daripada negara-negara maju khususnya.

Makalah yang terhimpun untuk keluaran khas ini secara umumnya menyentuh soal pemikiran semula pembangunan ini. Makalah-makalah ini mengambil kira tentang teori, konsep dan kesan amalan proses pembangunan sebagaimana proses itu dialami di Malaysia.

Makalah bertajuk ‘Memikir Semula Persoalan Pembangunan Manusia: Antara Teori Dengan Realiti’ oleh Abdul Rahman Embong menghujahkan bahawa walaupun persoalan pembangunan mempunyai kesan mendalam dan menjangkau jauh ke atas kehidupan manusia sejagat khususnya rakyat Dunia Ketiga, terdapat pelbagai aliran pemikiran yang bertentangan berhubung dengan konsep, teori, pendekatan dan strategi pembangunan.

Pada masa yang sama, terdapat pengalaman dan prestasi pembangunan yang berbeza-beza di kalangan pelbagai negara selama lima puluh tahun lebih ini, dengan sejumlah daripadanya lebih berjaya berbanding negara yang lain. Sungguhpun konsep pembangunan manusia yang diterimapakai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangas Bersatu (PBB) sejak 1990 itu adalah satu kemajuan penting dan amat berguna dalam ilmu dan praktik pembangunan, kita perlu melakukan pemikiran semula untuk melihat beberapa masalah atau kepincangan mengenainya dan mencari jalan keluar agar dapat mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif bagi memajukan pembangunan manusia dan keselamatan insan pada masa hadapan.

Sity Daud pula dalam makalah beliau bertajuk ‘Globalisasi dan Negara Pembangunan’ membincangkan kesan globalisasi terhadap keupayaan negara untuk campur tangan dalam pembangunan berdasarkan wacana pembangunan kontemporer. Kegawatan ekonomi 1997 dan krisis ekonomi Jepun yang berpanjangan telah menyebabkan peranan negara dalam pembangunan semakin dipertikaikan. Bahkan, negara dianggap sebagai tidak lagi relevan dan sepatutnya berundur bagi membolehkan pasaran mengendalikan urusan ekonomi secara lebih efisien.

Walau bagaimanapun, menurut beliau soal pembangunan dan agihan tidak boleh diserahkan kepada kuasa pasaran semata-mata. Hal ini kerana peranan negara masih diperlukan tetapi negara mesti mengubahsuai peranannya supaya terus relevan seperti yang dibuktikan oleh kes Jepun, Korea Selatan dan Malaysia. Era negara autoriter yang dipimpin oleh tokoh-tokoh kuat sudah berlalu atas desakan pendemokrasian.

Pada hari ini, negara masih boleh berperanan dalam pembangunan dengan syarat, ia memajukan pembangunan yang mesra-rakyat, iaitu pembangunan yang tidak mengenepikan soal kebebasan dan pilihan rakyat yang diperjuangkan oleh masyarakat sivil. Artikel ini menyimpulkan bahawa negara pembangunan boleh terus aktif dalam merangsang pertumbuhan dan mengagihkan kekayaan negara dengan menumpukan pada soal tadbir urus baik dan ketelusan.

Secara umum perhatian, perbincangan, dan perdebatan mengenai hal-hal berkaitan pembangunan menunjukkan bahawa isu pembangunan adalah tetap penting dan relevan kepada masyarakat dan negara. Namun, soalnya kenapakah bidang Pengajian Pembangunan hendak diketepikan atau dikurangpentingkan? Isu ini telah dikupas oleh Madeline Berma dan Junaenah Sulehan dalam makalah mereka bertajuk ‘Being Multi-Disciplinary in Development Studies: Why and How’. Mereka telah menyentuh mengenai kerelevenan bidang Pengajian Pembangunan dalam usaha memahami pembangunan negara Dunia Ketiga khususnya. Mereka berpendapat bahawa bidang Pengajian Pembangunan adalah penting dan relevan kerana bidang ini memberi tumpuan terhadap isu-isu dan masalah berhubung dengan negara-negara membangun pada pasca Perang Dunia II.

Selepas tahun-tahun 1950-an, Pengajian Pembangunan berasaskan multi dan inter-disiplin telah dibentuk untuk meneliti dinamik perubahan yang berlangsung di negara-negara yang pernah dijajah, namun penulis beranggapan konsep pengajian pembangunan itu sendiri masih kurang difahami. Penulis juga membincangkan kesesuaian, halatuju dan destinasi Pengajian Pembangunan, khususnya di Malaysia.Makalah ini berakhir dengan penulis menyarankan beberapa cadangan dan strategi untuk membentuk serta mengekalkan Pengajian Pembangunan.

Boleh dikatakan bahawa mendasari setiap perancangan dan proses pembangunan ialah idea, falsafah, pemikiran, ideologi dan andaian tertentu yang kemudiannya memandu arah tuju proses dan perancangan itu. Hal ini bermakna bahawa pada takat tertentu gagal atau berjayanya proses pembangunan di sesebuah negara akan bergantung kepada bagaimana pembangunan dikonseptualisasikan, sama ada ia dilihat secara sempit dan ditentukan oleh pihak pemerintah semata-mata atau membolehkan penyertaan bersama anggota masyarakat. Dalam makalahnya ‘Development in Malaysia: Economics and Politics of an Idea’, Lee Hwok Aun telah memberi suatu penaksiran kritikal tentang idea pembangunan di Malaysia. Menurut penulis perancangan dan prestasi ekonomi negara ini berpuncakan kecenderungan tertentu di dalam takrif dan amalan apa yang digelar sebagai pembangunan.

Perbincangan dalam makalah ini menekankan ekonomi dan politik pembangunan serta peranan pemerintah di dalam proses itu. Penulis telah menghujahkan bahawa kadar pertumbuhan ekonomi yang pesat merupakan suatu objektif utama polisi, sementara pengagihan pendapatan, perindustrian dan pembangunan kapitalis adalah keutamaan polisi pembangunan. Objektif yang lain, khususnya pembasmian kemiskinan dan perpaduan kebangsaan, juga merupakan objektif yang penting, tetapi dihambat oleh konsep-konsep yang sempit serta kepentingan pemerintah. Penulis berpendapat bahawa penguasaan dominan pemerintah telah menghasilkan situasi di mana idea pembangunan dilahirkan oleh pemerintah bagi tujuannya sendiri, dan jarang sekali dipersoalkan.

Kesan proses pembangunan telah juga dimuatkan dalam keluaran khas ini. Nor Aini Haji Idris dalam makalahnya ‘Mobliti Sosial di Kalangan Generasi Kedua Felda’ telah memberi tumpuan kepada kesan pendidikan terhadap mobiliti sosial dan tingkat pendapatan seseorang. Menurut beliau walaupun dasar pendidikan sekolah rendah percuma telah diamalkan oleh kebanyakan negara membangun, namun tidak banyak kesannya terutama bagi golongan miskin. Ramai anak dari keluarga miskin yang tercicir pelajaran mereka pada peringkat rendah lagi. Dengan menggunakan hasil penemuam kajian di Felda Daerah Jempol, Negeri Sembilan, penulis cuba menganalisis dua isu asas berkait dengan mobiliti sosial.

Pertama, untuk melihat peranan pendidikan dari perspektif pembangunan manusia dan kedua, untuk menilai keberkesanan peranan Felda dalam membaiki status sosioekonomi generasi pertama. Penulis berpendapat, usaha ke arah pengurangan kemiskinan melalui pendidikan adalah selari dengan konsep pembangunan manusia dan program Felda melalui aktiviti ekonomi telah berjaya mengubah taraf hidup generasi kedua berbanding dengan kehidupan ibu bapa mereka. Mobiliti sosial secara menegak yang berlaku melalui mekanisme pendidikan juga membuktikan kejayaan program pembangunan luar bandar yang telah dilaksanakan oleh pihak pemerintah.

Kesan proses pembangunan adalah menyeluruh. Bermakna kesannya tidak terbatas kepada aspek ekonomi sahaja atau telah timbul hasil pengenalan ciri-ciri baru ekonomi dan teknologi. Kesan pembangunan juga mencakupi aspek sosiobudaya apabila terdapat nilai-nilai, budaya dan amalan baru dibawa masuk ke dalam sesebuah masyarakat negara sedang membangun. Rokiah Haji Ismail melalui makalahnya bertajuk ‘Sub-budaya Muzik Rock Bawah Tanah di Kalangan Remaja Bandar’ telah membincang tentang penglibatan golongan remaja dalam muzik rock bawah tanah, yang dianggapnya sebagai bukanlah merupakan sesuatu perkara yang baru. 

Beliau telah menilai amalan muzik rock bawah tanah dan hubungannya dengan gaya hidup remaja bandar, termasuk pola amalan muzik tersebut, impak perkembangan teknologi maklumat dan media, hubungan sosial remaja terutama dengan kelompok sebaya, dan beberapa isu yang sering dikaitkan dengan gaya hidup remaja seperti status, identiti, kebebasan dan kuasa. Semuanya ini cuba dikupas untuk melihat perkaitan antara persoalan amalan muzik rock bawah tanah sebagai satu gaya hidup remaja dan pembangunan manusia. Menurut penulis nilai-nilai yang dikongsi remaja mempunyai hubungan yang rapat dengan ‘kesedaran’ tentang betapa pentingnya ukuran-ukuran lain selain ekonomi atau material bagi pembangunan manusia dalam memastikan wujudnya keadilan serta kesejahteraan bagi remaja sebagai satu kelompok sosial dalam masyarakat. Umumnya, tingkah laku remaja muzik rock bawah tanah mempunyai kesan yang nyata dan tidak nyata terhadap pembangunan remaja dari berbagai-bagai segi termasuk psikologikal, sosial, mental, spiritual dan emosi.

Mengambil kata-kata McMichael (1996: 250), terdapatnya "growing skepticism in the development project" dan juga wujudnya "public disillusionment", maka perlu adanya usaha untuk memikir semula soal pembangunan. Dunia kini perlukan satu pendekatan baru untuk menyelesaikan atau mengurangkan masalah pembangunan yang sudah sekian lama wujud. Soal pendekatan dan proses pembangunan dan bagaimana pembangunan dikonseptualisasikan perlu ditinjau semula kerana kita masih tidak dapat menyelesaikan beberapa masalah yang berpotensi mengancam dan membahayakan prospek generasi masa depan untuk hidup secara aman, selamat dan produktif.

Pendekatan baru pembangunan yang bakal digunakan itu pula hendaklah bersifat holistik dan komprehensif dengan mengambil kira setiap aspek atau unsur berkaitan strategi pembangunan yang terdapat dalam masyarakat. Untuk ini satu pra syarat yang perlu ialah kesepaduan dasar sosial, ekonomi dan budaya supaya dasar-dasar itu menjadi saling menyokong. Hal ini kerana usaha memperolehi pertumbuhan ekonomi dan pembangunan sosial yang mapan tidak boleh dilakukan secara berasingan. Pendekatan baru ini juga harus mengandungi kedua-dua elemen ‘atas-ke bawah’ dan ‘bawah – ke atas’. Bermakna ia berkehendakkan adanya unsur inclusion dan participation pelbagai sektor dalam masyarakat – state, masyarakat sivil, organisasi bukan kerajaan (NGOs), sektor swasta, dan penduduk tempatan. Pendekatan atau cara baru ini memerlukan perkongsian cara baru kerana tidak ada strategi pembangunan yang benar-benar boleh berjaya kecuali strategi itu telah mengambil kira atau juga merupakan hasil mereka yang sepatutnya menerima faedah daripadanya.

Akhir kata adalah diharapkan kumpulan makalah dalam Isu Khas ini akan dapat menyumbang kepada perenungan, pemikiran dan penelitian semula soal pembangunan.


Rahimah Abdul Aziz
Ketua Editor
Akademika

Category:

1 komentar:

Unknown mengatakan...

hahah sob ...ini aku upload lagi mp3 banyak sekitar 8 giga....soalnya salah satu akun 4shared aku kena banned...jadi beberapa link g aktif

:10 :11 :12 :13 :14 :15 :16 :17
:18 :19 :20 :21 :22 :23 :24 :25
:26 :27 :28 :29 :30 :31 :32 :33
:34 :35 :36 :37 :38 :39

Posting Komentar

Komentar anda sangat penting bagi kami, silahkan berkomentar sesuai dengan isi judul postingan. Komentar yang berbau sara atau pornografi akan kami hapus. Buatlah diri anda senyaman mungkin di blog kami. Terimakasih..!